Berita
Solidariti Cameron Highlands
KAMI TERUS MENYATAKAN SOKONGAN TERHADAP KERAJAAN NEGERI DAN BERDIRI TEGUH DI BELAKANG PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI PAHANG
Nama Cameron Highlands cukup sinonim sebagai satu destinasi peranginan yang terkenal negara kita.
Sebut sahaja Cameron Highlands, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran semua adalah udaranya yang segar dan nyaman. Begitu juga dengan tanaman teh yang menjadi mercu utama kepada pemandangan di tanah tinggi berkenaan.
Malah, Cameron Highlands dilihat sebagai satu-satunya destinasi pelancongan tempatan yang turut menyumbang sumber pendapatan kepada negara.
Namun demikian, segala keindahan dan imej Cameron Highlands sebagai sebuah destinasi pelancongan terkenal di dalam negara bahkan juga di seluruh dunia, kini menerima tamparan hebat. Semuanya gara-gara aktiviti penarahan kawasan bukit bagi membina kebun-kebun haram yang dilihat berleluasa.
Oleh demikian tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang komited dalam memastikan alam sekitar di negeri ini terus terpelihara harus disokong seluruh rakyat negeri ini.
Operasi membanteras penerokaan haram di Cameron Highlands ini perlu diteruskan bagi menjaga kualiti alam sekitar dan menjamin ianya kekal untuk generasi akan datang.
Ketegasan Kerajaan Negeri Pahang adalah bersebab dan ianya demi rakyat negeri ini serta bagi mengelak ketirisan pendapatan Kerajaan Negeri yang sudah tentu tidak mendapat apa-apa hasil dari kebun haram itu.
Masalah kesihatan juga boleh melanda masyarakat disana. Penggunaan racun yang merbahaya hingga mencemarkan air sungai amatlah dikesali.
Kesan kepada alam sekitar seperti banjir lumpur, runtuhan tanah, kemusnahan ekosistem alam akan terjadi disebabkan kerakusan tangan manusia yang hanya mementingkan keuntungan.
Ternyata, Cameron Highlands adalah terlalu penting untuk dipertahankan dari memenuhi nafsu segelintir pihak yang tamak haloba. Cameron Highlands adalah sebuah warisan yang perlu dipertahankan hingga ke lubang cacing.
Sekiranya keadaan tidak terkawal, jangan terkejut jika Cameron Highlands suatu hari nanti lenyap dari pandangan kita. Cameron Highlands mungkin akan menjadi padang jarak, padang terkukur.
Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
Kembali ke Atas