Berita
Portfolio bagi Ahli-Ahli MMK Negeri
PDT C.HIGHLANDS, 23 Mei 2018 - Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang pertama kali mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini, telah mengumumkan senarai portfolio bagi kesemua Ahli MMK. Pengumuman ini dibuat kepada Ahli-ahli MMK terlebih dahulu semasa peringkat awal permulaan mesyuarat berkenaan, kemudian diulanginya pada persidangan media awal tengah hari Rabu, 23 Mei di sini.
Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau sendiri akan memegang empat (4) portfolio dengan dua (2) daripadanya akan diserahkan kepada dua (2) Ahli-ahli MMK yang baharu, yang telahpun disembahkan ke sisi KDYMM Pemangku Raja untuk diperkenankan. Keempat-empat portfolio itu ialah Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Tanah dan Sumber Asli, Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli dan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Peladangan dan Bioteknologi.
Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang mengetuai Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Badan-badan Bukan Kerajaan sementara Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin bagi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan sementara Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi.
Dato’ Sri Mohd Johari Husin, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan. Dato’ Nazri Ngah, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna. Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff, Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia, dan, Encik Abdul Rahim Muda, Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Dan sekiranya berlaku pelantikan dua (2) Exco lagi, saya akan lepaskan dua (2) portfolio kepada Exco baharu. Kita menunggu perkenan KDYMM Pemangku Raja untuk lantikan dua (2) Exco dalam masa yang terdekat,”katanya.
Kembali ke Atas