Berita

Pahang Hiking Day 2022

Hizami

TANAH RATA, 20 Mac 2022 - Pahang Hiking Day Tahun 2022 yang dianjurkan oleh Tourism Pahang dengan usaha sama Kerajaan Negeri Pahang ini merupakan inisiatif yang efektif bagi mempromosikan keindahan bukit-bukit yang terdapat di sekitar Negeri Pahang kepada seluruh rakyat Malaysia dan pelancong dari luar negara. Usaha ini dapat memberikan impak yang sangat positif bukan sahaja kepada industri pelancongan bahkan dapat juga menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki di samping memupuk semangat cintakan alam sekitar.

Cameron Highlands sebagai salah satu daerah di Negeri Pahang yang terkenal dengan bukit-bukit yang unik telah memilih Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands sebagai lokasi pendakian pada program kali ini. Bagi pelancong yang mahukan suasana pendakian yang agak santai, Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands ini merupakan tempat yang sesuai untuk diterokai dengan keindahan alam semula jadi yang tenang dan menyegarkan. Antara bukit-bukti lain yang dibuka untuk para pelancong melakukan aktiviti mendaki di Cameron Highlands adalah di Mossy Forest, Coral Hill, Gunung Jasar, Gunung Irau, Gunung Robinson dan bermacam lagi.

Kelestarian di bukit-bukit ini juga sentiasa terpelihara dan dibaikpulih dengan kerjasama antara pihak yang berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Cawangan Cameron Highlands.

#PahangFirst
#MajuTerusPahang
#SayangiCameronHighlands
#pahanghikingday

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 149 kali.


Kembali ke Atas