Berita
Masjid sebagai Produk Pelancongan
KG. RAJA, 23 Mei 2018 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar masjid diberikan perhatian sebagai produk pelancongan khususnya masjid-masjid yang terdapat di kawasan pelancongan di negeri ini.
Menurut baginda, pusat peranginan Cameron Highlands ini sendiri memiliki beberapa buah masjid untuk kegunaan masyarakat dan pelancong Islam di Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Kuala Boh dan Masjid Kampung Raja.
“Saya berpendapat bahawa masjid sebagai produk pelancongan yang perlu dilihat dari perspektif positif dalam penyebaran dakwah dan kefahaman Islam kepada pelancong asing dan tempatan”, titah baginda ketika menyempurnakan titah diraja pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Raja dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Kampung Raja, dekat sini.
Titah baginda lagi, institusi masjid sangat sinonim dan begitu akrab dengan komuniti Islam yang bermatlamat masjid melangkaui batas ibadah yang turut merangkumi keseluruhan aspek kehidupan komuniti Islam.
“Masjid adalah institusi umat Islam yang mengambarkan Islam yang menyeluruh merangkumi kehidupan sosial dan keagamaan.
“Adalah tidak menghairankan apabila masjid turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara yang menjadikan masjid salah satu agenda pelancongan yang harus mereka lawati”, titah baginda.
Tengku Abdullah menyarankan agar Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dapat berkolaborasi dengan Islamic Tourism Centre Malaysia (ITC) dalam menyalurkan maklumat berkaitan masjid-masjid di Pahang menerusi Gerbang Laman Sesawang dan Pautan serta artikel ringkas mengenai masjid-masjid yang berada di kawasan pelancongan popular seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Frasier, Pulau Tioman, Cherating dan Taman Negara.
Sebelum mengakhir titah, baginda dengan lafaz ‘Bissmillahirrahmanirrahim’ menyempurnakan perasmian masjid Kampung Raja serentak menamakan masjid tersebut dengan nama baharu “Masjid Al-Huda Kampung Raja”.
Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 189 orang golongan yang memerlukan.
Penerima terdiri daripada golongan asnaf, muallaf, fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak-anak yatim yang setiap seorang menerima wang tunai RM300 dan barang-barang keperluan harian dan kuih muih raya.
Turut menerima kurniaan duit raya kira-kira 50 orang kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa masing-masing di majlis tersebut.
Mengiring baginda sepanjang majlis tersebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad dan barisan ahli exco kerajaan negeri.
Antara kenamaan lain, YB Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahari Ibrahim, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Haji Mohamad Noor Abdul Rani, YAA Hakim Mahkamah Syarie Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Md. Yunos dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Dato’ Ishak Mat Napis.
Sumber : Portal Diraja Pahang
Kembali ke Atas