Berita
Mangsa Banjir Lumpur Terima Bantuan
TANAH RATA, 20 Januari 2023 - Seramai 21 orang ketua isi rumah (KIR) yang terkesan dalam kejadian banjir lumpur di Kampung Baru, Kampung Raja pada 17 November yang lalu hari ini menerima bantuan kewangan Kerajaan Negeri Pahang melalui Tabung Malapetaka Daerah Cameron Highlands.
Bantuan kewangan secara “one-off” kepada mangsa banjir tersebut disampaikan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan.
“Dengan inisiatif melalui Tabung Malapetaka Daerah, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan sebagai langkah pemulihan dan membantu penduduk kampung yang terjejas teruk akibat kejadian ini”, katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Malapetaka Daerah Cameron Highlands bertempat di Perpustakaan Awam Daerah Cameron Highlands, di sini.
“Diharapkan dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung”, ujarnya lagi.
Turut sama hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Dato’ Zulkairi Zainol Abidin, Penolong Pegawai Daerah, En Muhammad Shukri Abdul Aziz, Pegawai Kebajikan Daerah Cameron Highlands, En Mohd Zulkaisi Mat Ghani dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Cameron Highlands, Tn Mohd Khomaini Yusuff.
Kembali ke Atas