Berita
Majlis Perjumpaan SS Pahang
TANAH RATA, 17 November 2022 - YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, tahun 2022 merupakan tahun terbaik di mana penjawat awam di Pahang telah menjalankan tugas dengan baik dan menghasilkan pencapaian yang cemerlang.
Sebelum itu, Dr. Sallehuddin menjelaskan mengenai peningkatan hasil kutipan pendapatan negeri dan perolehan hasil yang konsisten pada setiap tahun.
Pada tahun 2019, Pahang berjaya memperoleh hasil sebanyak RM847 juta, meningkat kepada RM850 juta (2020) dan RM866 juta pada tahun 2021.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri telah berjaya memperoleh hasil sebanyak RM1 bilion,” ujar beliau.
“Pahang juga berjaya membawa masuk pelaburan yang banyak dan keuntungan daripadanya membolehkan kerajaan negeri
menggandakan pelbagai bantuan kebajikan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Pahang Bersama Penjawat Awam Cameron Highlands di Dewan Puncak Arabella, di sini.
Perjumpaan ini turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Razihan Adzharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Tuan Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation, Dato’ Mohd Khusaini Harumaini.
Beliau turut memaklumkan, Kerajaan Pahang juga berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta.
Dengan pengurangan hutang ini, sebahagian besarnya dicapai menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang.
Selain itu, Dr. Sallehuddin berkata, penyaluran bantuan dan program kebajikan yang berterusan kepada rakyat, termasuklah semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM31.3 juta melalui pakej Bantuan Prihatin Pahang untuk diagihkan kepada golongan sasar yang terkesan.
“Bagi tahun 2022, Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui Bantuan Prihatin Pahang yang memberi manfaat kepada hampir 300,000 penerima,” jelas beliau lagi.
Dalam masa yang sama, beliau mengiktiraf kejayaan kerajaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua penjawat awam negeri Pahang.
“Teruskan bekerja dengan baik untuk membantu negeri Pahang agar terus kaya dan makmur,” katanya.
Kembali ke Atas