Berita
Liputan 4G Cameron Highlands Meningkat
CAMERON HIGHLANDS, 19 Ogos 2022 - Kadar liputan 4G di kawasan yang berpenduduk di Cameron Highlands kini telah meningkat daripada 54.43% pada Suku Ke-2 2020 (sebelum JENDELA bermula) kini kepada 86.94% pada Suku Ke-2 2022. Kadar ini dijangka akan terus meningkat apabila semua projek dibawah JENDELA siap sepenuhnya yang disasarkan pada penghujung tahun 2022 ini.
Pengarah SKMM Pahang Tn. Haji Mohd Faisal Md Nor telah melaporkan kepada saya perkembangan terkini pelaksanaan pelan JENDELA di Cameron Highlands dimana daripada 23 menara baharu yang akan dibina, dua telah siap iaitu di Pos Lemoi dan Kg Telimau.
Manakala baki 21 menara sedang dalam peringkat pelaksanaan. Antara lokasi pelaksanaan menara baharu adalah di Kg Abu, KOA Panngen, Kg Leryar, Habu, KOA Kuala Boh, Jln Ringlet/Sg Koyan, Bertam Valley Farm, Blue Valley 3, Kg Raja, PPRT Lembah Bertam, Sg Burung, Perumahan Makmur Blue Valley Jaya dan banyak lagi. Bagi kerja naik taraf stesen pemancar, sebanyak 14 stesen pemancar telah ditetapkan untuk dinaik taraf ke rangkaian 4G dimana semuanya telah pun siap dinaiktaraf. Selain daripada itu, sebanyak lapan Kampung orang asli di Cameron Highlands telah mendapat manfaat daripada projek internet jalur lebar satelit yang siap April lalu dimana penduduk kampung OA tersebut kini dapat menikmati internet jalur lebar berkelajuan tinggi secara percuma bagi tempoh dua (2) tahun ini.
Demi kepentingan pelaksanaan projek JENDELA, maka saya telah meminta SKMM Pahang bersama wakil Pahang Corp, Koridor Utiliti Pahang (KUP) dan Syarikat Edotco (dilantik SKMM, pembinaan menara Daerah Cameron Highlands) serta Numix (syarikat dilantik SKMM bagi melaksana projek internet jalur lebar satelit di KOA) untuk turun padang meninjau semua usaha Jendela di Cameron Highlands dan memberi penerangan kepada wakil penduduk.
Semasa lawatan tersebut, Abdul Bin Busu, Tok Batin KOA Rening memberi maklumbalas yang sangat menggalakkan. Katanya, melalui semua projek ini perkhidmatan internet kini bukan sahaja memberi kemudahan perhubungan masyarakat Orang Asli disitu malah ianya membantu kerja-kerja promosi dan tempahan untuk Chalet Kg. Rening yang dibina penduduk OA disitu. Manakala, Tok Batin Alang Hitam dari KOA Terakit juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan SKMM kerana memilih KOA Terakit sebagai sebahagian daripada projek ini. Katanya, penduduk kampung berasa amat bersyukur kerana kini mendapat manfaat perkhidmatan internet yang diidamkan mereka selama ini.
Dalam lawatan kerja tersebut, Edotco mendapat persetujuan daripada kedua-dua Tok Batin tentang lokasi menara baharu yang akan dibina di kampung tersebut dan projek ini dijangka dimulakan sejurus selesai proses perolehan tapak oleh Pahang Corp dan KUP selesai.
Perkembangan JENDELA Cameron Highlands juga dilaporkan kepada Tuan Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya, Pegawai Daerah Cameron Highlands pada sesi kunjung hormat SKMM pagi Jumaat, 12 Ogos sempena lawatan kerja ini.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat semua pihak yang terlibat merialisasikan impian penduduk di Cameron Highlands termasuk Orang Asli untuk menikmati liputan telekomunikasi dan internet yang lebih baik. Segala usaha dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai. Pelan JENDELA sedang dilaksanakan di seluruh negeri Pahang dan apabila siapnya nanti dijangkakan kadar capaian internet di kebanyakan tempat di negeri Pahang akan lebih baik dan terus meningkat lagi.
#MajuTetusPahang #Pahang1st #SKMM #Jendela #CameronHighlands
Sumber : Facebook Fakhruddin Ariff
Kembali ke Atas