Berita

Hari Kebangsaan 2018 penuh patriotik

~MM

CAMERON HIGHLANDS, 31 Ogos 2018 - Hari Kebangsaan 2018 disambut meriah dengan pelbagai persembahan dan pertunjukan menghiasi sepanjang berlangsungnya acara itu di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands, dihadiri pelbagai lapisan masyarakat dengan penuh semangat patriotik selaras temanya "Sayangi Malaysiaku".

Sambutan bermula jam 8.15 pagi di padang itu yang menyaksikan perbarisan pelbagai kontinjen anggota keselamatan, penjawat awam, agensi swasta serta pelajar sekolah turut sama menjayakan hari yang bersejarah. 

Acara sambutan dimulakan dengan persembahan gimik daripada pasukan Kompeni Bravo Kem Slim, Angkatan Tentera Malaysia. Seterusnya acara menyanyikan lagu Negaraku disusuli lagu Allah Selamatkan Sultan Kami diiringi dari nyanyian koir  Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

Ia disusuli laungan ikrar diketuai oleh Abdul Sani Mat Tasan. Selesai bacaan ikrar, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' Ishak Md Napis menyampaikan amanat daripada YAB Menteri Besar Pahang.

Sambutan pagi itu turut dimeriahkan oleh persembahan kebudayaan  dari pelajar-pelajar SK Convent, SJKT Tanah Rata dan SJKC Tanah Rata. Acara diakhiri dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali pimpinan Pegawai Waran 1 (B) Rosli Hashim.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 152 kali.


Kembali ke Atas