Berita

1,500 pokok ditanam dalam proses pemulihan Sungai Ichat

~MM

SUNGAI ICHAT, 16 Februari 2020 - Seramai 300 orang terdiri daripada kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri, ahli-ahli persatuan badan uniform serta para pelajar daripada sekolah sekitar daerah Cameron Highlands hadir bagi menanam lebih 1,500 anak pokok di sekitar 3 hektar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat, Kuala Terla.

Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Muadzam Shah menanam pokok Damar Minyak sebagai simbolik perasmian program. Pemuliharaan dan usaha melestarikan hutan simpan ini merupakan inisiatif Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands dengan kerjasama Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET). Usaha ini juga selaras dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang menyokong program kelesterian Cameron Highlands selain turut menjaga kebajikan penduduk di sini.

Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata program penanaman pokok pemulihan Hutan Simpan Sungai Ichat ini adalah projek bagi mengembalikan semula kehijauan di sekitar kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat serta memulihkan semula Sungai Ichat yang tercemar akibat diteroka secara haram sebelum ini oleh pekebun haram kerana sungai tersebut merupakan sumber air utama bagi loji air Kuala Terla.

“Program melestarikan Cameron Highlands ini dirancang baik dan diurus secara bersistematik. Perancangan secara strategik dan teratur telah dijadualkan oleh Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands dalam memulihkan Hutan Simpan Sungai Ichat yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar) melibatkan penanaman anak pokok yang akan ditanam secara berperingkat,” ujarnya ketika majlis berlangsung di hadapan Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang juga Pengasas SASET, di sini semalam.

Menurut peserta yang hadir yang juga Pesuruhjaya Pandu Puteri Cameron Highlands, Zuraida Yusof berkata, usaha pemuliharaan ini merupakan usaha yang baik dalam menjaga alam sekitar di daerah ini.

“Kami Persatuan Pandu Puteri berkumpul seawal 8.00 pagi lagi dan kami semua terutamanya ahli-ahli Pandu Puteri golongan remaja diberi ruang untuk menanam pokok di sekitar hutan simpan ini. Malah, mereka iaitu pelajar sekolah turut diberi pendedahan berkaitan penanaman pokok dan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya lagi.

Semasa majlis ini, orang awam diberi peluang menanam sebanyak 1,500 anak-anak pokok spesies Merawan Siput Jantan atau Hopea Odorata manakala Tengku Arif Temenggong melakukan upacara perasmian menanam pokok spesies Damar Minyak atau Agathis Borneensis.

Sumber : Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 107 kali.


Kembali ke Atas