Berita

MB bersama Penjawat Awam Cameron Highlands

~MM

TANAH RATA, 12 Disember 2018 - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengadakan lawatan bersama penjawat awam di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands. Ini merupakan kali kedua beliau turun padang ke jabatan tersebut sejak menyandang jawatan Menteri Besar. 

Wan Rosdy berkata beliau berhasrat lebih kerap menjelajah ke setiap daerah bersama anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri dalam usaha mendekati dan mendengar permasalahan rakyat. Jelasnya, beliau melihat perkara itu sebagai satu pendekatan yang tepat untuk mendengar keluh kesah dan jerit perit rakyat dalam Negeri Pahang.

"Sejak memegang jawatan Menteri Besar, saya bersama barisan Exco telah menjelajah hampir ke setiap daerah bersama agensi kerajaan tertentu ke kawasan-kawasan tumpuan untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat", ujarnya.

Wan Rosdy sebelum itu menyuarakan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam yang telah banyak membantu dalam menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Dalam pada masa yang sama, Wan Rosdy turut menyampaikan permit penggunaan dalam hutan simpan kekal daerah ini kepada seramai 51 orang penerima yang terdiri daripada pengusaha bunga dan sayur.

Beliau berkata, permit atau kebenaran yang diberikan itu memberi peluang kepada para pekebun meneruskan aktiviti pertanian. Pekebun yang dibenarkan mengusahakan projek pertanian dalam hutan simpan diingatkan supaya menjaga alam sekitar dan tidak bertindak membesarkan kawasan kebun sedia ada.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato' Dr Mohd Hizamri Mohd Yassin, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' Ishak Md Napis, barisan Exco Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan daerah serta penjawat awam Cameron Highlands.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 53 kali.


Kembali ke Atas