Artikel

Latar Belakang

Cameron Highlands merupakan salah satu tempat yang mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri . Ia sering dikaitkan sebagai tempat peranginan tanah tinggi musim cuti yang begitu terkenal di negara ini, sebagai pusat pengeluaran teh yang terbesar di Malaysia dan masyhur, ladang sayur-sayuran yang sentiasa membekalkan keperluan sayur-sayuran segar dan bermutu tinggi kepada negara. Kedudukannya yang terletak di dataran tinggi menjanjikan persekitaran yang nyaman, jauh dari kesibukan kota dan pencemaran alam. Pada masa kini, masih banyak lagi keistimewaan dan keunikan yang terdapat di Cameron Highlands yang masih tersembunyi di celah-celah bukit-bukau dan kehijauan hutan belantaranya. Daerah Cameron Highlands merupakan daerah terkecil yang terletak di sebelah barat laut negeri Pahang. Keluasannya adalah 71,218 hektar (712.18 km persegi) dan meliputi 2% daripada keluasan negeri tersebut. Peletakannya adalah di Banjaran Titiwangsa yang mana sebahagian besarnya terletak di aras 1,070 meter hingga 1,830 meter dari paras laut. Di sebelah barat sempadan, kontur adalah kurang daripada 1,000m, terutamanya di sepanjang lembah sungai. Ia bersempadan dengan Perak di bahagian barat, Kelantan di bahagian utara dan Daerah Lipis, Pahang di bahagian timur dan selatan. Terdapat 3 rangkaian jalan utama yang menghubungkan daerah Cameron Highlands dengan daerah lain dan negeri bersempadan iaitu Lebuhraya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan II melalui Tapah, Jalan Simpang Pulai/ Ipoh-Lojing/ Gua Musang dan Jalan Lembah Bertam-Kuala Lipis. Daerah ini terdiri daripada 3 mukim iaitu Hulu Telom (63,990 hektar), Ringlet (5,156 hektar) dan Tanah Rata (2,072 hektar). Sungguhpun nama Cameron Highlands telah terukir sejak satu kurun yang lampau tetapi tidak banyak kisah-kisah atau perjalanan sejarah yang menarik pernah dicatat atau dibincangkan oleh masyarakat umum. Hanya selepas negara ini mencapai kemerdekaan, Cameron Highlands telah menjadi tumpuan pembangunan negara, khususnya Negeri Pahang dalam bidang ekonomi dan pelancongan.  
 

 

Kedudukan geografi Cameron Highlands terletak di Banjaran Titiwangsa, dengan puncak tertinggi ialah Gunung Brinchang setinggi 6666 kaki di atas aras laut. Altitud ini  menyebabkan suhu persekitaran rendah dan dalam keadaan dingin. Cuaca yang sejuk serta keindahan alam semulajadinya amat sesuai sekali bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dan jauh daripada suasana sibuk, bising dan pencemaran alam. Kehijauan tumbuh-tumbuhan yang menyelimuti muka buminya yang berbukit-bukau, kehijauan ladang-ladang teh yang terhampar bagai permaidani hijau, bunga-bungaan beraneka warna yang harum lagi segar serta kebun-kebun sayur yang luas dan cantik di celah lereng-lereng gunung meruntun hati dan menjadikan pemandanagn seluas saujana mata memandang. Terdapat beberapa buah kawasan air terjun yang cantik dan sesuai untuk perkelahan. Manakala untuk peminat-peminat golf, Cameron Highlands menyediakan Kelab Golf Sultan Haji Ahmad Shah yang sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja. Hawanya yang dingin menyebabkan seseorang itu tidak akan merasa letih ketika bermain golf dan menjanjikan kelainan antara kelab golf yang lain. Selain dari menikmati keindahan alam semulajadinya, Cameron Highlands juga kaya dengan senibina bangunan-bangunan berbentuk 'tudor' yang menarik. Penginapan bagi pelancong tidak menjadi masalah di sini. Para pelancong mempunyai pelbagai pilihan untuk tempat penginapan dan ia disediakan untuk semua peringkat.