Artikel

JPJ buka cawangan baharu di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka sebuah pejabat cawangan baharu di Cameron Highlands yang mula beroperasi sepenuhnya pada 20 Januari lepas.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembukaan pejabat baharu itu menjadikan JPJ kini mempunyai 66 cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata, cawangan baharu itu merupakan satu daripada inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Cameron Highlands khususnya.

"Lokasinya amat bersesuaian dan strategik, memandangkan Tanah Rata merupakan pusat bandar Cameron Highlands yang menjadi tumpuan penduduk di daerah ini.

"Sebelum pembukaan JPJ cawangan Cameron Highlands, penduduk di sini akan ke JPJ Ipoh, Perak atau JPJ cawangan Gua Musang, Kelantan bagi mendapatkan perkhidmatan dan menjalankan urusniaga yang mana jaraknya lebih 100 kilometer," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pejabat cawangan itu di sini,
hari ini.    

Tiong Lai berkata, antara perkhidmatan yang diberikan ialah urusniaga berkaitan lesen memandu, memperbaharui cukai jalan, tender nombor pendaftaran, tukar hak milik kenderaan dan bayaran saman.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, sejak memulakan operasi pada Januari hingga April lepas, pejabat JPJ berkenaan memungut hasil sebanyak RM558,057.50 ke atas transaksi yang dijalankan. - Bernama