Artikel

Taman Lavender tarikan baru Cameron Highlands

KEINDAHAN dan kesejukan suhu Cameron Highlands, Pahang sentiasa  menjadi tempat tumpuan pelancong antarabangsa dan domestik, terutama menjelang musim percutian sekolah.


Ibu bapa biasanya mengambil peluang beristirahat di sana bersama ahli keluarga.

Biasanya hotel dan tempat penginapan penuh sesak dengan pengunjung sepanjang musim percutian itu.

Kadar sewa turut naik kerana permintaan dianggap tinggi daripada penawaran, sekali gus merupakan durian runtuh kepada pengusahanya.

Antara tempat yang menjadi tarikan ialah taman bunga, tanaman sayuran, ladang teh dan taman rama-rama.

Tempat tarikan baru dikenali sebagai Taman Levender Cameron  yang terletak di Tringkap dekat kawasan Brincang ini boleh dilihat dengan jelas jika pengunjung datang ke sini menggunakan jalan dari Simpang Pulai.

Taman ini bukan sahaja mempunyai lavender, malah memiliki pelbagai spesies bunga lain dan buah strawberi.

Kawasannya bersih pada musim lavender berbunga, pengunjung pasti terpesona dengan barisan bunga-bunga ungu yang menghiasi taman berkenaan.

Pengunjung bukan sahaja boleh memetik strawberi malah bunga daisi juga.

Ia mula dibuka pada tahun 2013 dan pengunjung boleh membeli hasil keluaran taman ini seperti minuman susu strawberi dan aiskrim dengan harga berpatutan.

Pada sebelah pagi pengunjung sesuai berada di Taman Rama-Rama yang terletak di kawasan Kea Farm dan ia merupakan antara tarikan tertua ke Cameron Highlands.

Bermula sebagai hobi, taman yang dimulakan pada tahun 1990 ini kini menempatkan pelbagai spesies rama-rama, di samping reptilia lain seperti ular dan katak. Ia turut menempatkan serangga seperti kumbang dan kala jengking.

Bagi mereka yang gemarkan bunga boleh berkunjung ke Rose Center di Cameron yang terletak di Kea Farm ini. Walaupun namanya pusat ros, pengunjung juga berpeluang melihat ratusan jenis bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang ditanam di kawasan berbukit.

Bergantung pada musim, pengunjung mungkin dapat melihat pelbagai bunga mekar ataupun yang sudah layu tanpa diendahkan kerana kawasannya terlalu luas.

Jika pengunjung menggunakan anak tangga sehingga ke atas bukit mereka akan berasa kesejukan anginnya di samping melihat pemandangan indah Cameron Highlands dari kawasan tanah tinggi.

Kawasan ini beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 6 petang dan harga tiket dikenakan sebanyak RM5 bagi pengunjung dewasa dan RM2 (kanak-kanak).

Taman Strawberi pula adalah antara tempat tanaman terbesar dan paling selesa di Cameron Highlands yang terletak di The Big Red Strawberry Farm dekat Brinchang.

Selain melihat tanaman strawberi pengunjung juga boleh merasai beraneka hidangan berasaskan buah berkenaan.

Mengikut sejarahnya, seorang pendatang India yang berhijrah ke sini sebelum merdeka memulakan industri ini ketika usianya 15 tahun.

Ladang ini mempunyai kafe dan kedai cenderamatanya sendiri.

Selain merasai muffin dan aiskrim, pengunjung juga boleh membeli teh dan pelbagai cenderamata lain untuk dibawa pulang.

Kebanyakan ladang strawberi di Cameron dibina di cerun sungai yang tebingnya landai dan sesuai tempat letak kereta.

Pengunjung boleh memetik buahnya walaupun ketika hujan lebat kerana ia berada di bawah bumbung besar.

Ia dibuka kepada pengunjung setiap hari  mulai jam 8.30 pagi hingga 6 petang tanpa dikenakan bayaran tiket masuk.
     
Muzium Time Tunnel di Cameron Highlands pula menempatkan barangan memori zaman kanak-kanak yang merupakan milik peribadi seorang anak Cina tempatan, See Kok Shan yang mula dibuka pada 2007.
     
Ia memuatkan sekitar 1,000 memorabilia membabitkan salinan kad pengenalan P Ramlee, tin susu lama dan dapur minyak tanah hinggalah ke kerusi zaman British serta basikal merah posmen era merdeka.
     
Selain menyimpan barangan antik, muzium ini turut mempamerkan beberapa gambar lama yang menunjukkan sejarah Cameron Highlands yang sukar dijumpai di tempat lain.
     
Ia beroperasi setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 6 petang dengan dikenakan tiket masuk bagi pengunjung dewasa sebanyak RM5 dan kanak-kanak (RM3).
   
Muzium ini terletak di sebelah ladang strawberi Kok Lim iaitu  di antara Brinchang dan Kea Farm. 
   
Mercu tandanya ialah tugu strawberi besar di tepi jalan berhampiran.
     
Cameron Highlands yang juga dikenali sebagai Tanah Tinggi Cameron terletak dalam negeri Pahang bersempadan dengan Perak dan Kelantan. 
     
Ia terletak kira-kira 90 kilometer dari Ipoh dan 200 kilometer (dari Kuala Lumpur)
     
Ia yang mula diterokai Sir William Cameron in 1885 mempunyai  kawasan Ringlet  seluas 5,165 hektar, Tanah Rata (2,081 hektar) dan  Ulu Telom (63,981 hektar). 
     
Ia turut mempunyai lapan kawasan kecil dikenali sebagai Ringlet, Tanah Rata (pusat pentadbiran), Brinchang,  Bertam Valley, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. 
     
Ia berada kira-kira1,100 meter hingga 1,600 meter di atas paras laut.
   
Purata suhunya ialah 18 °C  atau 64 °F dan kadangkala meningkat kepada 25 °C  (77 °F) pada hari tertentu.
   
Pada waktu malam suhunya mencecah hingga ke paras bawah sehingga 9 °C (48 °F) terutama di tempat tinggi.
     
Ia mempunyai penduduk kira-kira 38,000 orang yang membabitkan Melayu seramai  7,321, lain-lain kaum (5,668)), China (13,099), India (6,988), warga asing (5,193), bangsa lain (202).
     
Kebanyakan penduduk bekerja sebagai  peniaga, pekerja industri, pekerja ladang, pesara dan kakitangan kerajaan
     
Kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan bahasa Inggeris.
     
Penduduknya beragama Islam, Buddha, Tao, Hindu, Kristian dan Sikh.
       
Cameron Highlands boleh dikunjungi melalui jalan dari Tapah, Simpang Pulai, Gua Musang  dan Sungai Koyan. 
     
Tapah dan Simpang Pulai terletak dalam negeri Perak, Gua Musang dan Sungai Koyan (Kelantan serta Pahang).