Artikel

Cadang SPRM sertai jawatankuasa Cameron Highlands

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang bercadang untuk mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganggotai Jawatankuasa Pentadbiran Tanah Cameron Highlands, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.


Beliau berkata kehadiran SPRM dalam jawatankuasa itu, yang turut diwakili pegawai daerah dan wakil kerajaan negeri, diharapkan dapat memastikan bahawa proses pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada petani kecil yang layak dibuat secara telus.

"Sebelum ada sindiket besar secara haram, petani di Cameron Highlands sudah bercucuk tanam kecil-kecilan untuk menanggung keluarga mereka. Menjadi tanggungjawab sosial kerajaan untuk membantu mereka.

"Mereka ini yang akan kita berikan TOL. Jika ada orang makan rasuah hasil penanam sayur kecil-kecilan ini, maka tunggulah hukumannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang dan Hadiah Menteri Besar Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Adnan berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada SPRM secepat mungkin, memandangkan kerajaan negeri telah menjemput suruhanjaya itu untuk menyertai mesyuarat kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Kita akan mendengar taklimat (daripada SPRM) pada mesyuarat itu dan kita meminta supaya Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed atau Timbalannya, Datuk Mustafar Ali untuk turut serta," katanya.

Adnan juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memburu dan menghukum sindiket besar penanam sayur yang meneroka tanah secara haram sehingga merosakkan alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

Selain itu, Adnan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang berkata yayasan itu bercadang untuk memberi sumbangan wang tunai kepada penulis-penulis buku, novel, cerita pendek dan puisi dari negeri Pahang.

"Kita telah mengenal pasti beberapa penulis dan membaca karya mereka. Ini diberikan sebagai tanda menghargai sumbangan dan galakan kepada mereka untuk terus berkarya," katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Adnan berkata seramai lima pelajar menerima biasiswa itu yang merupakan biasiswa paling berprestij negeri untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) manakala 146 pelajar menerima Hadiah Menteri Besar Pahang.

Antara penerima Hadiah Menteri Besar Pahang ialah seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 peringkat kebangsaan Adam Fadhli Abdul Razak, 18, dari Temerloh, Pahang. – Bernama