Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sehingga kini sebanyak 6,000 pokok telah ditanam semula di 526 hektar hutan simpan kekal yang diceroboh secara haram di kawasan peranginan itu.
   
"Aktiviti penanaman semula itu telah dilakukan sebanyak dua kali dan kali terakhir pada 8 Mac lepas di Hutan Simpan Chiku," katanya.
   
Beliau menjawab pertanyaan Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) yang meminta kerajaan menyatakan perancangan bagi menyelesaikan masalah pencerobohan tanah dan perladangan haram di Cameron Highlands serta memastikan bencana alam tidak berulang lagi di kawasan tanah tinggi itu.
   
Shahidan yang juga ahli Parlimen Arau berkata, sehingga hari ini seluas 1,336 hektar ladang tanaman haram di kawasan peranginan itu telah dimusnahkan melalui Ops Gading yang bertujuan membersihkan pencerobohan tanah di Cameron Highlands.    
   
Katanya, selain program penghijauan Cameron Highlands di bawah selian Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu, kerajaan turut melaksanakan kerja-kerja rancangan tebatan banjir di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula 20 Januari lepas dan kini sedang berjalan rancak.
   
Langkah lain termasuk melaksanakan kajian semula rancangan tempatan daerah Cameron Highlands oleh agensi kerajaan dengan melakukan tindakan pemulihan, pengekalan dan penambahbaikan bagi memulihkan Cameron Highlands.
   
"Perincian kos tahunan untuk program pemulihan Cameron Highlands ini terutama Ops Gading RM7 juta, program penghijauan (RM54 juta) manakala rancangan tebatan banjir (RM40 juta)," katanya.
   
Kepada soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang bertanyakan mengenai sama ada wujud kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi memulihkan kembali Cameron Highlands menjadi pusat peranginan tersohor, Shahidan memberitahu kerjasama seumpama itu sememangnya wujud.
   
Shahidan berkata, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri telah menemui beberapa kejayaan antaranya mengenakan pelbagai tindakan kepada penceroboh haram dan penangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin.
   
Katanya, pendatang dari Rohingya yang memegang kad Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan kerana kad itu hanya membenarkan mereka tinggal secara sementara di negara ini dan bukannya kebenaran untuk bekerja.
   
"Kerajaan telah membuat keputusan mengenai perkara ini dan kita akan umum tidak lama lagi," katanya. - Bernama