Artikel

Cameron Highlands perlu 'daerah kerjasama khas'

KUALA LUMPUR - Isu pencerobohan yang terus berlaku di tanah tinggi Cameron Highlands menunjukkan bahawa daerah berkenaan memerlukan pentadbiran yang lebih tegas dan ketat, demikian menurut seorang penganalisis.

    
Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata bagi mewujudkan pentadbiran lebih berwibawa, Cameron Highlands hendaklah dijadikan 'daerah kerjasama khas', yang ditadbir bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri Pahang.
    
Langkah ini, katanya akan membolehkan pihak berkuasa menangani isu pencerobohan dengan efektif.
    
"Majlis atau badan itu (yang dipertanggungjawab untuk mentadbir daerah) ini wajar dianggotai oleh pentadbir persekutuan dan negeri selain melibatkan pasukan keselamatan daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Imigresen supaya pemantauan dan pemuliharaan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya kepada Bernama.
    
Beliau berkata organisasi pentadbir ini juga bertanggungjawab menguruskan pentadbiran Cameron Highlands daripada segi ekonomi dan pelancongan serta penguatkuasaan.
    
Md Shukri berpendapat pengalaman Perbadanan Putrajaya dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) di Langkawi dapat dijadikan panduan dalam kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi membanteras pencerobohan dan penerokaan haram di tanah tinggi itu.
 
Tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh sehingga meragut lima nyawa dan berpuluh kehilangan tempat tinggal di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada November lepas dipercayai berpunca akibat penerokaan tanah secara haram oleh pihak-pihak tertentu.
    
Kawasan bukit seluas 71,218 hektar persegi di banjaran Titiwangsa Semenanjung, yang dibuka sejak zaman kolonial British untuk perladangan teh, kini menjadi pusat penanaman sayuran dan tumpuan pelancong.
    
Pada pada 31 Januari lepas, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa tidak puas hati baginda dengan tindakan pihak berkaitan dalam menangani usaha pemulihan banjir lumpur dan menyifatkan tindakan yang diambil sebagai tidak efisien seperti yang diharapkan.
    
Susulan itu, pada 3 Februari, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melakukan lawatan mengejut untuk melihat perkembangan terkini usaha baik pulih dan pemantauan pihak berkuasa berikutan tragedi itu, meluahkan rasa dukacita dengan pencerobohan terus berlaku di Cameron Highlands meskipun penguatkuasaan giat dijalankan. - Bernama