Artikel

Kerajaan Teliti Pelan Cameron Highlands

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti semula pelan tempatan untuk Cameron Highlands bagi memastikan kelestarian tanah tinggi itu tidak terjejas dalam jangka masa panjang.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Jabatan Perancang Bandar dan Desa akan meneliti semula pelan tersebut dan ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Penelitian semula itu akan mengambil kira tindakan susulan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menambahbaik, memulihara dan mencantikkan kawasan sekitar Cameron Highlands sementara tindakan penguatkuasaan masih berjalan, katanya.

"Saya telah mendengar laporan-laporan dan kita percaya dengan tindakan-tindakan berterusan baru, kita dapat menjamin Cameron Highlands akan kembali ke zaman kegemilangan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama," katanya pada sidang media di sini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bencana Banjir Kilat dan Tanah Runtuh yang melanda Cameron Highlands.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga menyediakan RM40 juta kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk memperbaiki Sungai Bertam bagi menangani masalah banjir, di mana kerja-kerjanya sudah bermula.

Kerajaan juga akan mendapatkan pandangan ibu bapa dan penduduk tempatan mengenai pemindahan sebuah sekolah Cina di Cameron Highlands ke tapak baharu yang kosnya akan ditanggung Tenaga Nasional Berhad, katanya.

Beliau juga menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperbanyak kempen kesedaran seperti penanaman pokok dan mengelak pembuangan sampah dengan penglibatan penduduk tempatan bagi memelihara Cameron Highlands.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan Pahang akan mempertimbangkan pemberian lesen pendudukan sementara (TOL) kepada peneroka haram atas sebab tertentu untuk meneruskan aktiviti pertanian di Cameron Highlands.

Beliau berkata, kerajaan Pahang, mengikut budi bicara akan memberi TOL kepada peneroka sayur-sayuran dan buah-buahan yang dianggap layak untuk terus menanam sekiranya tidak bercanggah dengan peraturan-peraturan termasuk alam sekitar.

"Kerajaan negeri akan memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), di kawasan berkenaan, siapakah peneroka dan bilakah lesen akan dikeluarkan.

"Hal ini akan dipertimbangkan dalam tempoh sebulan iaitu pada akhir Februari. Mana yang layak akan diberikan TOL manakala yang berbaki nanti, tindakan meroboh dan memusnahkan tanaman akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kawasan seluas 176.98 hektar daripada 2,258.14 hektar kawasan yang diceroboh di Cameron Highlands telah dibersihkan, berdasarkan 'remote sensing' dan data daripada Pejabat Tanah dan Galian.

Sementara itu, Muhyiddin berkata tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di Cameron Highlands akan diteruskan.

Sejak tindakan penguatkuasaan, beliau berkata Jabatan Imigresen dan polis telah menahan kira-kira 800 Pati dan tindakan undang-undang akan diambil.