Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan di tanah tinggi itu secara berterusan dan tidak terhad kepada aktiviti pertanian semata-mata.

“Sememangnya Cameron Highlands ini adalah salah satu daripada pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia selain Genting Highland dan Bukit Fraser, saya cukup yakin tindakan untuk memulihkan ini adalah satu daripada usaha memastikan Cameron Highlands ini bukan sahaja menjadi pusat pertanian tanah tinggi tetapi sebagai pusat peranginan. 
 
“Sebab itulah ia akan mengambil sedikit masa tetapi saya cukup yakin bahawa menteri besar ada komitmen tinggi ke arah memulihkan balik Cameron Highlands itu sebagai pusat peranginan atau destinasi pelancongan yang diminati ramai,” katanya selepas majlis penyampaian Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Agromakanan kepada usahawan tani daerah Temerloh di Dewan Bangunan Umno Mentakab, di sini semalam.

Pada majlis itu, lebih 1,000 petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku di daerah ini tahun lalu menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta.

Kelmarin, langkah tegas diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi menangani isu alam sekitar di Cameron Highlands dengan tidak lagi membenarkan pembukaan kebun sayur berskala besar di tanah tinggi itu.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu yang berlaku di tanah tinggi berkenaan dan sedang giat berusaha bersama kerajaan persekutuan memulihkan semula kawasan peranginan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, jumlah kehadiran pelancong ke pusat peranginan itu menurun daripada 728,131 orang pada 2013 kepada 590,481 orang pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, Cameron Highlands masih lagi mempunyai potensi besar sebagai salah satu pusat peranginan terkenal di negeri  ini seterusnya memberi sumbangan kepada industri pelancongan negara.

Justeru katanya, pelbagai usaha akan dikenal pasti bagi membangunkan sektor pelancongan di tanah tinggi itu sekali gus menarik lebih ramai pelancong.