Mayat Wanita Tragedi Banjir Lumpur Ditemui

CAMERON HIGHLANDS, 28 Oktober - Mangsa keempat yang hilang dalam tragedi banjir kilat akibat pelepasan air empangan di Cameron Highlands pada pukul 1 pagi 23 Oktober lalu dijumpai hari ini.

Mayat wanita warganegara Indonesia, Jarwati, 24, di jumpai dalam timbunan kayu dan sampah sarap di sebuah kebun bunga di tepi Sungai Bertam, Ringlet.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, mayat dijumpai pada pukul 12.30 tengah hari oleh pemilik kebun berkenaan.

 

Ujar beliau, lokasi mayat wanita itu dijumpai terletak kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang semasa kejadian banjir kilat tersebut.

“Pemilik kebun bunga berumur 50-an tersebut menjumpai mayat wanita berkenaan semasa membersihkan kawasan kebun.

 

“Selepas dijumpai, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.