Upacara Penamat LTdL Sungai Siput - Cameron Highlands

BRINCHANG, 23 Februari - Cameron Highlands melakar sejarah sekali lagi apabila bandar Brinchang dipilih sebagai destinasi penamat Le Tour de Langkawi Peringkat 3 dari Sungai Siput ke Cameron Highlands. Cabaran sebenar LTDL 2013  bermula pada saingan peringkat ke 3 dari TF Value Mart Sungai Siput ke Balai Kraftangan Brinchang, Cameron Highlands. Perlumbaan sejauh 140.7 km menjadi milik Pelumba Hengxiang Cycling Team, Wang Meiying mencipta kejutan menguasai pendakian kategori Hors.

Lebih manis lagi, pelumba kelahiran China itu turut melakar sejarah Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan menjadi pelumba pertama yang merangkul Jersi Kuning (keseluruhan), jersi biru (Raja Pecut) dan jersi merah (Raja Bukit) serta mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) yang dipertaruhkan sejak edisi pertama pada 1996. Cameron Highlands menjadi destinasi penamat perlumbaan yang berada di ketinggian lebih 1500 meter dari aras laut dengan memiliki keluasan seluas 712km persegi. Saingan peringkat ketiga telah diharungi oleh para pelumba dengan satu zon pendakian kategori 1 di Ringlet (122.4km) sebelum menamatkan kategori Hors di Brinchang.

Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 akan meneruskan kayuhan peringkat keempat dari Tapah, Perak ke Kapar, Selangor sejauh 168.0km. Perlumbaan mendatar namun sedikit beralun ini tanpa sebarang zon pendakian menjadi rebutan milik pakar-pakar pecut membuktikan kehebatan dalam tiga zon pecut di Teluk Intan (40.2 km), Sungai Besar (89.0 km) dan Kuala Selangor (140.8 km)